Audiologis atau dikenali sebagai Pegawai Pemulihan Perubatan Pendengaran adalah profesional kesihatan bertauliah dan berkelayakan yang terlibat dalam menawarkan perkhidmatan klinikal bagi mencegah, menilai, mengenalpasti, melakukan proses habilitasi dan rehabilitasi dan mendidik kepada individu yang mempunyai masalah pendengaran dan keseimbangan.

Kebanyakan mereka bekerja di hospital kerajaan mahupun swasta dan tidak kurang juga bekerja pusat alat bantu pendengaran persendirian.

Audiologis memainkan peranan yang sangat penting dalam mengenalpasti dan mencegah masalah pendengaran seawal usia bayi sehinggalah orang tua. Mereka bekerjasama dengan pelbagai bidang professional lain bagi memberikan satu keputusan yang memerlukan kepakaran berbeza seperti pakar otolarinologi (ENT), pakar kanak-kanak(paediatric), guru sekolah dan lain-lain lagi.

Contohnya, seorang guru sekolah merasakan pelajarnya menghadapi masalah pembelajaran yang serius dan kerap kali dilihat tidak mendengar arahan atau pengajaran gurunya. Lalu si guru merujuk pelajar tersebut ke hospital untuk tindakan doktor perubatan. Pelajar tersebut diperiksa dan didapati salur telinganya tersumbat dengan tahi telinga (earwax) yang menyukarkan baginya untuk mendengar dengan jelas.

Lalu doktor akan melakukan pembersihan salur telinga samada mencairkan tahi telinga tersebut atau cucian telinga menggunakan mikroskop dan alatan khas. Sekiranya salur telinga tadi bersih dari tahi telinga dan pelajar masih lagi merasakan kurang pendengaran, maka pelajar tersebut akan dirujuk ke Audiologis untuk mengenalpasti masalah sebenarnya.

Audiologis akan melakukan ujian terperinci seperti memeriksa saluran telinga,gegendang telinga, belakang telinga,telinga tengah sehinggalah ke saraf auditori. Jika tiada masalah, pesakit akan dirujuk kembali ke doktor atau doktor kanak-kanak untuk tindakan seterusnya.

Tetapi, jika didapati pelajar tersebut mempunyai masalah pendengaran jenis kekal, maka alat bantu pendengaran akan dicuba-pakai mengikut tahap pendengaran masalah bagi membantu pelajar tersebut mendengar dengan jelas. Kerjasama dari pelbagai bidang kepakaran akan memberikan satu keputusan yang tepat untuk pesakit masalah pendengaran.

Secara asasnya, Audiologis memberikan khidmat klinikal seperti:

  1. Membuat penilaian dan pengesahan terhadap status pendengaran seseorang.

  2. Merujuk pesakit ke pelbagai bidang kepakaran pada masa yang sama pesakit dirujuk ke Audiologis untuk memberikan servis terbaik kepada pelanggan atau pesakit.

  3. Membuat preskripsi pemasangan dan pengendalian alat pendengaran.

  4. Menjalankan konservasi, intervensi dan rehabilitasi masalah pendengaran.

  5. Membuat saringan pendengaran.

  6. Menjalankan khidmat nasihat dan kaunseling yang berkaitan dengan masalah pendengaran.

Sekiranya anda mempunyai masalah pendengaran segeralah berjumpa dengan audiologis.

Jangan berasa malu untuk berjumpa kerana audiologis sangat berkemahiran dalam memberi perkhidmatan yang berkaitan dengan pendengaran.

Call Now