Kebanyakkan orang apabila mengalami selesema teruk atau sakit tekak akan merasakan kesan sampingan seperti kurang dengar . Mengapa ini terjadi?

Di belakang gegendang telinga kita ada satu ruang yang dipanggil ruang telinga tengah. Ruang ini akan memastikan kestabilan tekanan  udara  melalui pembukaan dan penutupan salur yang dinamakan tiub Eustachian (Eustachian Tube).

Tiub ini menghubungkan telinga tengah tadi ke belakang tekak.Ini membolehkan udara berada di ruang telinga tengah dan membenarkan sebarang cairan daripada telinga tengah mengalir ke tekak. Kebiasaannya tiub ini dalam keadaan tertutup dan hanya terbuka ketika mengunyah, makan dan menguap.

Jika tekanan udara  berubah secara tiba-tiba  seperti  sedang mendarat atau berlepas dalam kapal terbang, ruang udara ini akan menjadi samaada lebih atau kurang tekanan berbanding tekanan di luar telinga. Perubahan tekanan ini akan menyebabkan telinga terasa tersumbat untuk sementara waktu dan pendengaran menjadi kurang. Menelan air liur  adalah salah satu cara  untuk salur Eustachian tadi terbuka sekaligus menstabilkan tekanan.

Apabila jangkitan berlaku kepada hidung (selesema) dan tekak (tonsilitis), bukaan tiub Eustachian juga akan terkesan hasil pembengkakkan yang berlaku.Ini akan menghalang fungsi sebenar tiub tadi sebagai pengudaraan dan pengaliran antara ruang telinga tengah dan tekak sekaligus menyebabkan perbezaan tekanan udara antara telinga tengah dengan persekitaran luar dan penghasilan cecair mukus.

Gegendang telinga akan tertarik ke bahagian dalam disebabkan tekanan di ruang telinga tengah lebih rendah berbanding tekanan di luar telinga. Ini akan menyebabkan telinga menjadi sakit dan kurang dengar.

Segera berjumpa doktor sekiranya anda mengalami masalah seperti ini. Jangan biarkan masalah yang boleh dirawati segera ini dibiarkan berpanjangan lalu menyebabkan jangkitan kepada telinga yang membawa kepada masalah pendengaran kekal.

equal and unequal ear pressure
fluid in the ear
Call Now