Artikel pada kali ini akan membincangkan antara faktor telinga kanan anda tidak boleh mendengar. Selalunya bila seseorang mengadu kurang pendengaran, mereka akan mempunyai persepsi bahawa keseluruhan telinga tidak berfungi.
Yang sebenarnya, telinga memiliki dua bahagian di sebelah kiri dan kanan dan ada segelintir juga yang masih mampu mendengar dengan sebelah telinga sahaja. Pekak sebelah telinga juga dipanggil sebagai unilateral hearing loss atau unilateral deafness.
1. Berlaku Masalah Pendengaran Konduktif
Keadaan ini berlaku apabila terdapat masalah pada bahagian telinga luar atau tengah. Getaran bunyi terhalang atau terganggu daripada memasuki telinga tengah.
Organ yang terkesan kepada keadaan ini adalah telinga luar, telinga tengah, membrane tempanik, osikel auditori, dan salur eustachio. Anda masih boleh mendengar bunyi suara orang lain dan suara anda tetapi dalam kondisi yang ringan dan sederhana sahaja. Ini bermaksud kadang kala anda mampu dengar dan kadang kala tidak.
Frekuensi anda pada saat itu adalah sekitar 55dB hingga 60dB sahaja. Banyak faktor yang menyebabkan perkara ini terjadi antaranya seperti kecatatan pada cuping telinga, kecatatan pada saluran auditori luar, dan adanya bendasing dalam saluran.
2. Berlaku Masalah Pendengaran Sensori Neural
Ini boleh berpunca oleh penyakit di bahagian telinga dalam iaitu koklear dan saraf koklear yang menghantar bunyi ke otak. Berbeza dengan konduktif, jenis masalah ini selalunya kekal.
Namun begitu, anda boleh dibantu dengan menggunakan alat bantuan pendengaran. Organ yang menjadi fungsi penting adalah telinga dalam, koklea, dan salur separa bulat.
Kategori pendengaran pada tahap ini adalah teruk yang mana anda yang mengalaminya akan mampu mendengar bunyian yang kuat sahaja. Frekuensi anda pula pada saat itu adalah 71db ke atas (teruk) dan 91dB ke atas (sangat teruk).
3. Kombinasi 2 Penyakit Konduktif dan Sensorineural
Penyakit konduktif adalah masalah gangguan aliran bunyi oleh kerana masalah yang berlaku pada bahagian tengah dan luar telinga. Manakala penyakit sensorineural pula merupakan masalah di saraf deria yang disebabkan oleh masalah pada bahagian dalam telinga atau saraf auditori.
Kombinasi kedua-duanya penyakit ini sudah tentu makin merosotkan lagi sistem pendengaran anda dari semasa ke semasa.
4. Kecederaan atau Kemalangan pada Telinga
Impak hentakan ketika kemalangan akan merencatkan pendengaran anda. Sukar untuk dikenal pasti apa punca masalah pendengaran itu berasal jika pesakit sendiri tidak memberitahu apa yang sedang dia rasakan ketika itu. Pemeriksaan terperinci perlu dilakukan dengan memeriksa beberapa struktur di dalam telinga.
Beberapa jenis kecederaan pada telinga boleh berlaku seperti kecederaan bahagian luar, kecederaan bahagian luar, trauma, dan kecederaan sehingga mengakibatkan luka pada salur luar telinga, dan kebocoran pada gegendang telinga.
Luka pada bahagian sistem pendengaran akan mengakibatkan darah yang terkumpul di kawasan itu mengeras dan akhirnya pesakit tidak dapat mendengar.
5. Pendedahan kepada Bunyi Bising yang Sangat Kuat
Keadaan ini sangat sinonim kepada mereka yang bekerja dalam suasana yang sangat bising seperti di studio, industri berat, industri ringan, sektor penerbangan, unit vektor, kuari, dan sebagainya.
Bagi pekerja yang berisiko, anda boleh menggunakan alat pelindung pendengaran seperti ear muff, dan ear plug. Manusia boleh terdedah pada tahap bunyi paling maksima 100dB hanya dalam masa 15 minit sahaja, dan 85dB dalam masa 8 jam.
Bukan itu sahaja, malah remaja atau individu yang suka menggunakan earphone atau headphone dengan kerap dan dalam jangka masa yang lama juga berisiko untuk mengalami gangguan pendengaran.
Ini disebabkan oleh telinga anda mengalami listener fatigue. Keadaan ini memberi kesan pada gegendang telinga dan otot-otot sekitarnya kerana harus berfungsi lebih kuat untuk mengawal aliran bunyi.
6. Penyumbatan pada telinga
Masalah telinga tersumbat boleh dikategorikan dalam beberapa keadaan seperti disebabkan faktor tahi telinga, resdung, selsema, kemasukan air, dan duduk dalam kapal terbang. Perlu anda faham saluran pada telinga berhubung terus dengan saluran pada tekak dan hidung.
Jadi sekiranya terdapat satu fungsi sistem yang terganggu maka sistem lain juga turut sama mengalami kesannya.
7. Ketumbuhan pada telinga
Tidak semua ketumbuhan itu barah.Ketumbuhan di telinga boleh disebabkan cairan cyst atau keloid. Kedua-dua masalah ini boleh dirawat secara keseluruhannya dengan pembedahan.
Apa langkah rawatan yang boleh dilakukan?
Rawatan yang terbaik perlu anda lakukan bagi mengawal dan merawat masalah telinga anda adalah dengan berjumpa dengan doktor.
Doktor akan memberikan pesakit ubat yang sepatutnya. Ada juga kes di mana doktor menyarankan untuk memakai alat bantuan pendengaran atau melakukan pembedahan pada telinga.
Sekiranya masalah anda tidak selesai juga, anda boleh ke klinik pakar telinga untuk membuat rujukan dan rawatan dengan Pakar Telinga, Hidung, dan Tekak (ENT).
Diharapkan artikel berkenaan tentang punca telinga kanan anda tidak dapat mendengar ini boleh memberikan ada informasi yang berguna dan bermanfaat untuk penjagaan kesihatan yang berpanjangan.
Sekiranya anda merasa tidak selesa dengan kesihatan telinga anda, dengan segera lakukan ujian pendengaran agar masalah itu dapat dibendung awal.