Artikel pada kali ini akan membincangkan perihal 8 tanda bayi anda mempunyai masalah pendengaran. Mengikut statistik dunia, dianggarkan 3-4 dalam setiap 1000 bayi dilahirkan dengan masalah pendengaran.

Bayi tidak seperti orang dewasa yang mudah untuk mengekspresikan diri mereka dengan kata-kata kerana mereka masih belum boleh berbicara. Bayi hanya boleh respon dengan menangis bila terjadi sesuatu keadaan yang menyebabkan diri mereka tidak selesa.

Lantaran itu sebagai ibu bapa, anda haruslah sentiasa peka dengan perkembangan dan perubahan anak-anak.

 

1. Tidak terkejut/terjaga daripada tidur oleh bunyi yang kuat

Lazimnya, bayi adalah individu yang akan mudah terjaga apabila dia terdengar bunyi-bunyian yang bising. Ini kerana bayi memerlukan suasana yang tenang dan damai untuk tidur. Jadi jika bayi anda tidak menunjukkan respon seperti itu kemungkinan besar dia sedang mengalami fasa-fasa sukar untuk mendengar.

Apabila bayi anda menangis pula, dia sukar untuk ditenangkan dengan suara-suara pujukan yang bersifat lembut dan mendayu. Pada peringkat ini anda terpaksa menguatkan suara anda sedikit untuk memberhentikan tangisan bayi dari terus berlarutan.

 

Woman with daughter hiking, exploring wildlife.

 

2. Tindak balas tidak konsisten terhadap bunyi

Tidak konsisten di sini bermaksud yang bayi anda kadangkala boleh menunjukkan responnya terhadap bunyi dan kadangkala juga tiada tindak balas sama sekali. Contohnya ketika anda sedang memandu dan tiba-tiba ada kenderaan yang membunyikan hon.

Sepatutnya bayi akan menunjukkan reaksinya sama ada terkejut lalu menangis atau tersentak. Begitu juga ketika bayi berada berdekatan dengan suara televisyen atau muzik yang kuat.

Ketika bermain pula, bayi yang mempunyai masalah ini akan tidak menikmati sama sekali sebarang permainan yang mempunyai unsur-unsur tarikan seperti bunyi muzik atau lonceng. Dia akan merasakan apa yang dimain dan dipegangya seperti kaku dan tidak menarik perhatian.

 

3. Tidak mempedulikan anda apabila di panggil

Ketika di usia 2 bulan, bayi normal akan mula untuk belajar memberi respon kepada suara-suara yang sering kali dia dengar. Bayi akan membuat suara vocal seperti “ohh” untuk menandakan yang dia tahu anda sedang berbicara dengannya.

Apabila bayi berusia sembilan bulan pula, dia akan kenal namanya sendiri dan memberi respon jika seseorang memanggilnya.

 

4. Tidak bertutur pada usia 18 bulan

Bayi berusia 1 tahun sepatutnya sudah bersedia dan matang untuk mengucapkan bunyi konsonan yang mudah seperti “da-da” dan “ma-ma”. Bukan itu sahaja, bayi juga akan membunyikan beberapa variasi huruf konsonan seperti huruf m, p, b, g, dan lain-lain.

 

5. Kelihatan seperti tidak memberi perhatian

Bila anda berkomunikasi dengan seseorang apa yang sepatutnya orang yang menerima mesej itu lakukan? Pasti individu itu perlu memandang mata anda dan memberikan perhatian sepenuhnya ketika anda berbicara.

Sebaliknya, bayi yang tidak boleh mendengar tidak akan sama sekali memalingkan kepala atau matanya ke arah suara yang sedang bercakap.

 

cute girl sitting at home

 

6. Sentiasa meniru perbuatan orang lain untuk mengikut arahan

Di usia bayi tiga tahun, dia sudah boleh menuruti arahan yang mengandungi dua langkah seperti “ambil buku itu dan beri buku ini”.

Di peringkat ini, bayi sudah mencapai perbendahaaan kata untuk ratusan perkataan, yang mana dia akan faham lebih banyak perkara. Masalah akan berlaku apabila bayi tidak dapat mendengar dan memproses arahan tersebut sebelum bertindak.

Apa yang terjadi, dia akan cuba untuk memerhatikan tindakan orang lain dan meniru dari apa yang dilihatnya untuk faham. Jadi proses tindak balas akan bermula dari pemerhatian bukannya pendengaran.

 

7. Membaca gerakan bibir terutamanya apabila berkomunikasi

Di usia 6 bulan, bayi akan mula belajar berbicara dengan mencuba meniru suara orang lain tetapi bayi yang tidak boleh mendengar dengan baik berlaku sebaliknya.

Sudah pasti walaupun mereka sukar mendengar, mereka masih boleh menggunakan pancaindera untuk melihat.

Uniknya, apa yang dilakukan bayi ini mereka akan belajar pula untuk membaca gerakan bibir seseorang yang sedang bercakap. Ia ibaratnya seperti bayi sedang mengajuk tetapi dalam versi lip sync.

 

8. Sering salah faham dalam memahami arahan

Arahan yang mudah untuk diberikan kepada bayi 12 hingga 15 bulan biasanya adalah “bye-bye” atau arahan anda meminta untuk datang ke “sini”, dan “berhenti”.

Bayi yang tidak boleh memahami arahan tersebut bukan kerana mereka tidak faham tetapi kerana mereka tidak boleh mendengar dengan baik.

 

Di harapkan artikel tentang tips mengenal tanda-tanda bayi ada masalah pendengaran ini dapat memberikan sedikit sebanyak informasi berguna kepada para ibu bapa terutamanya pasangan yang baru menimang cahaya mata.

Sikap anda yang peka dengan perubahan anak-anak akan membantu mereka mendapatkan kehidupan yang lebih baik.

Ujian saringan pendengaran seperti ujian otoacacoutic emission dan ujian auditory brainstem response pada bayi yang baru lahir dapat membantu untuk mengesan masalah mereka pada peringkat awal.

Call Now