Telinga berdesing atau juga dikenali sebagai ‘tinnitus’ dalam Bahasa Inggeris, merupakan keadaan di mana satu individu akan mendengar bunyi berdesing yang bersumber dari dalam diri seseorang, tetapi persekitarannya tidak menunjukkan punca kepada lahirnya bunyi tersebut.

Tinnitus boleh menjadi tanda atau simptom seseorang menghidap sejenis penyakit yang boleh menghasilkan bunyi tersebut, atau ia boleh menjadi tanda kepada fenomena lain. Kebiasaannya, bunyi berdesing lebih kerap berlaku namun bunyi lain seperti bersiul dan ketikan juga boleh berlaku dan ini dikaitkan dengan tinnitus.

Sebilangan kecil sekitar 10%-20% populasi penduduk dunia mungkin mengalami masalah tinnitus pada satu ketika dalam hayat mereka. Kualiti hidup boleh terjejas akibat masalah ini sekiranya ia berlaku dengan kerap.

Kadar masalah tinnitus adalah tinggi pada warga berusia dan lebih melibatkan kaum lelaki, namun tidak mengecualikan kaum wanita dan juga kanak-kanak daripada mengalami fenomena ini. Maka, kita perlu lihat kepada faktor-faktor yang menyumbang kepada berlakunya keadaan ini.

 

1. Jangkitan dalam telinga

Apabila saluran dalam telinga menjadi tersumbat disebabkan oleh cecair, tahi telinga, habuk atau apa-apa benda asing, maka ini akan mengakibatkan perubahan dari sudut tekanan di dalam telinga, justeru menghasilkan telinga berdesing.

Telinga manusia mempunyai bahagian tersendiri untuk mengimbangkan tekanan udara yang dinamakan tiub Eustachian. Sekiranya terdapat jangkitan dalam telinga anda yang boleh menjejaskan tiub ini, maka bunyi berdesing boleh terhasil.

 

2. Terdedah pada bunyi yang kuat

Pengguna alat pendengar seperti ‘earphone’ atau seumpama, akan memfokuskan fungsi pendengaran mereka pada alat ini semata-mata. Kebiasaannya, alat ini digunakan untuk mendengar muzik pada kadar bunyi yang kuat.

Kajian daripada Institut Kesihatan Amerika Syarikat menunjukkan bahawa pendedahan terhadap bunyi yang kuat boleh mengakibatkan tinnitus. Pendedahan secara beransur-ansur meningkatkan risiko untuk seseorang mengalami telinga berdesing.

 

3. Terdapat penyakit di bahagian kepala atau tengkuk anda.

Terdapat beberapa jenis penyakit yang boleh mengakibatkan telinga berdesing. Misalnya, ‘Acoustic neuroma’ merupakan sejenis barah yang terhasil di sekitar sendi dalam kepala anda. Penyakit ‘Temporomandibular joint’ (TMJ) iaitu sendi di bahagian rahang anda.

Meniere’s disease’ merupakan satu keadaan di mana tekanan cecair telinga bahagian dalam mengalami masalah. Kekejangan otot di bahagian telinga yang boleh disebabkan oleh ‘sclerosis’, dan juga ‘otosclerosis’ di mana berlakunya pertumbuhan janggal tulang telinga.

Kesemua ini antara penyakit yang boleh menyumbang kepada telinga berdesing. Kecederaan di bahagian kepala dan tengkuk boleh menyebabkan kerosakan pada sendi membabitkan pendengaran dan seterusnya membawa kepada ‘tinnitus’.

Selain itu, penyakit kronik yang melibatkan tiroid, migrain, anemia, kencing manis, dan penyakit Autoimun boleh menyumbang kepada berlakunya ‘tinnitus’.

 

4. Ubat-ubatan yang anda gunakan

Terdapat beberapa jenis ubat yang boleh menyumbang kepada telinga berdesing, atau menjadikan ia lebih teruk berbanding sebelumnya. Lebih tinggi pengambilan dos ubat berkenaan, maka lebih teruk fenomena telinga berdesing berlaku.

Kadangkala bunyi ini akan hilang apabila anda berhenti mengambil ubat tersebut seperti ubat anti-radang dan beberapa jenis antibiotik misalnya ubat kanser, ubat malaria dan ubat anti-depresan.

 

5. Gaya hidup anda

Perokok dan peminum alkohol tegar juga menghadapi masalah telinga berdesing. Hal ini kerana merokok dan kerap mengambil minuman keras memberi kesan terhadap saluran darah seseorang dan ini akan membawa kepada ‘tinnitus’.

Pengambilan makanan yang secara berlebihan atau tidak seimbang, serta kurang bersenam juga boleh menyumbang kepada ‘tinnitus’ secara tidak langsung.

 

Seseorang yang menghadapi masalah telinga berdesing boleh mengalaminya buat jangka masa yang panjang. Namun, terdapat beberapa usaha pencegahan dan pemulihan yang boleh dipraktikkan untuk mengatasi keadaan ini.

 

a. Rujuk pakar perubatan

Anda boleh melawat klinik pakar telinga untuk mendapatkan pemeriksaan ke atas tubuh badan anda. Di lokasi begini, pakar telinga boleh mengenal pasti samada anda mempunyai sebarang penyakit yang menyumbang kepada keadaan telinga berdesing, samada penyakit tersebut boleh dirawat atau berlaku secara turun-temurun.

Pakar telinga juga boleh memberi anda nasihat mengenai tindakan selanjutnya untuk mengurangkan atau menghilangkan kesan telinga berdesing.

 

b. Amalkan gaya hidup sihat

Pengambilan rokok dan bahan beralkohol perlu dikurangkan atau diberhentikan serta-merta. Pengambilan makanan yang sihat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran dapat merawat penyakit yang menyumbang kepada ‘tinnitus’.

Anda juga boleh kurangkan pengambilan ubat-ubatan yang menyumbang kepada ‘tinnitus’ tetapi langkah ini memerlukan anda untuk merujuk pakar perubatan terlebih dahulu. Anda juga perlu jaga kebersihan diri terutama di kawasan telinga untuk mengelakkan penyakit yang boleh menyumbang kepada telinga berdesing.

Kerap bersenam juga membantu saluran darah anda yang kemudiannya mengurangkan risiko telinga berdesing.

 

c. Gunakan peralatan keselamatan

Sekiranya anda bekerja di kawasan yang terdapat banyak bunyi bising, atau kerja anda sendiri membabitkan bunyi yang bising, maka anda digalakkan untuk menggunakan penyumbat atau penutup telinga untuk mengurangkan kadar bunyi yang masuk ke telinga anda.

Ini bukan sahaja dapat mengurangkan bunyi bising, bahkan ia dapat mencegah penyakit lain yang membabitkan pendengaran.

 

Kesimpulannya, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada fenomena telinga berdesing, dan juga langkah kawalan dan pencegahan yang boleh dipraktikkan untuk mengatasinya.

Anda boleh fikirkan solusi yang terbaik untuk diri anda dan juga mereka yang berdekatan dengan anda agar kesihatan diri dan orang lain sentiasa dalam keadaan baik.

Call Now