Lumrah kelahiran  bayi  akan mengalami proses perkembangan dan pertumbuhan  seiring dengan usia mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan ibu bapa. Komunikasi mereka ketika ini hanyalah dengan menangis. Apa sahaja keperluan dan keinginan  mereka seperti  lapar, sejuk, panas, minta didodoi, tidak selesa, minta ditukar lampin, semuanya adalah dengan menangis.

Komunikasi ini kemudiannya berubah apabila bayi membesar bermula dengan bebelan bunyi kosonan  seperti ba, ba, ma, pa dan seterusnya. Pendendahan bunyi atau percakapan kepada  bayi merangsang  otak mereka untuk berkomunikasi seperti apa yang mereka dengar. Lebih kerap kita berkomunikasi dengan mereka, lebih banyak rangsangan otak dapat dihasilkan.

Secara asasnya, apabila mencapai umur 1 tahun , bayi mula menyebut perkataan yang bermakna seperti “mama” yang merujuk kepada si ibu atau “papa” merujuk kepada si ayah.Jika berkehendakkan sesuatu mereka sepatutnya boleh menyebut satu perkataan seperti ‘nak’ sambil menunjuk benda yang dikehendaki.

Begitulah seterusnya apabila mencecah umur 2 tahun dengan 2 patah perkataan seperti “nak makan”, umur 3 tahun dengan sekurang-kurangnya dengan 3 patah perkataan seperti “ nak makan nasi”. Perkembangan komunikasi ini hendaklah di dipantau secara berterusan supaya si anak tidak ketinggalan dalam proses perkembangan  terutamanya dalam komunikasi seharian.

Jika anak sudah berumur 3 tahun tapi komunikasinya adalah dengan isyarat bahasa badan seperti menunjuk-nunjukk dengan jari (finger-pointing) kepada barang yang dikehendakinya  atau kemahuannya tanpa sebarang permintaan lisan seperti, menunjuk ke dapur yang bermaksud mahu makan, menunjuk ke televisyen yang bermaksud mahu menonton, menunjuk ke bilik yang bermaksud mahu tidur maka ini memberi petanda yang memerlukan tindakan segera dari ibu bapa.

Disamping itu  sekiranya si anak ingin menonton televisyen dengan kekuatan suara televisyen yang tinggi atau selalu menonton dalam jarak yang dekat juga memberikan petanda berhati-hati juga kepada ibu-bapa. Tanda-tanda ini merupakan tanda awal seseorang itu mengalami masalah pendengaran yang boleh membawa kepada masalah lain seperti lewat bercakap dan masalah pembelajaran apabila memasuki alam persekolahan nanti.

Ibu bapa memainkan peranan dalam memerhati  dan merangsang perkembangan si anak. Ilmu pengetahuan dan pengalaman sebelumnya mampu  memberikan maklumat awal kepada ibu-bapa. Anak yang lahir terdahulu seperti  abang atau kakak  boleh dibandingkan perkembangan komunikasi  mereka dengan si adik.

Jika si abang atau kakak mampu berkomunikasi secara ringkas pada umur tertentu tapi tidak pada si adik,  maka si adik ini hendaklah diberikan perhatian khusus dirujuk ke mereka yang arif dalam bidang ini seperti, Doktor ENT, Doktor kanak-kanak, Audiologis, Terapis Pertuturan dan lain-lain lagi.

Intervensi atau pencengahan awal ini mampu menyelamatkan dari kanak-kanak terlepas kemahiran yang sepatutnya mereka capai pada umur tertentu. Sekiranya proses pencegahan awal tidak dilakukan ia boleh mengakibatkan kelewatan dalam perkembangan pertuturan, kemahiran berkomunikasi, kognitif dan social kanak-kanak.

Profesion seperti audiologis atau pegawai pemulihan pendengaran adalah mereka yang terawal mengesan masalah pendengaran sejak bayi lagi sesuai dengan kajian World Health Organisation (WHO) yang menunjukkan bagi setiap 1000 kelahiran bayi, kira-kira 1 hingga 6 bayi mengalami masalah pendengaran pada tahap sederhana hingga sangat teruk.

Pendengaran menjadi elemen utama bagi sebuah komunikasi yang berkesan. Bagaimana bayi mahu menerima respon, atau dirangsang otaknya atau meniru percakapan orang lain sekiranya mempunyai masalah pendengaran. Dengan mendengar kita dapat bertutur, berkomunikasi dan berhubung dengan orang lain dengan lebih berkesan.

Sentiasalah berhati-hati  dan memerhati bahasa badan anak yang masih kecil supaya satu langkah awal pencengahan mampu menyelamatkan daripada masalah besar di kemudian hari.

Call Now